Tuesday, 28 May 2013

Masihkah Ada Aku...


Bab 2


            Datuk Zainuddin melepaskan keluhan agak berat. Sakitnya hati mengenangkan sikap anak perempuannya ini. Kalau diikutkan hatinya memang dia mahu sahaja menampar pipi gebu Zarina. Namun kekerasan bukannya menyelesaikan masalahnya sekarang. Dia perlu lebih tenang agar segalanya akan berjalan dengan lancar. Keluhan dilepaskan dengan berat sekali lagi. Apalah malang nasibnya kali ini, mengenangkan keakrapan hubungan antara dia dan Datuk Rasheed membuatkan nafasnya kian sesak. Mereka bukan sahaja sahabat baik, malah mereka adalah ipar.

            Hanya kerana mahu mengekalkan hubungan baiknya dengan Rasheed membuatkan dia mengambil sahabat baiknya itu menjadi adik iparnya. Malah hubungan kekeluargaan itu memang membuatkan mereka bersatu dalam satu keluarga dan juga dalam bidang perniagaan. Dia yakin onar yang dilakukan oleh anaknya ini akan membuatkan hubungan mereka akan terjejas. Malah mungkin juga mereka boleh bermusuhan selepas ini. Mengenangkan itu memang Datuk Zainuddin benar-benar rasa tertekan.

            Semalam dia memang tidak menyangka akan terserempak dengan anak gadis kesayangannya dilobby hotel. Sedang asyik berpelukan dengan seorang lelaki inggeris. Aduuhh.. nasib baiklah hanya dia yang perasan, bukan 2 orang lain orang kanannya. Kalau tidak memang maruahnya akan tercalar masa itu juga. Dan pagi ini dia masih menantikan kepulangan anak gadisnya itu. Dia sanggup membatalkan meeting dengan clientnya hanya kerana mahu menyelesaikan masalah keluarganya.

            Namun hingga saat ini wajah anak gadisnya masih tidak muncul-muncul, entah dimanalah anak gadisnya itu tidur. Membayangkan anak gadisnya yang terus hanyut itu membuatkan perasaan Datuk Zainuddin kian terdera. Tidak tahu bagaimana mahu menasihati lagi. Zarina memang agak liar sejak dahulu. Dia pula tidak mahu berkeras sangat. Dia tahu Zarina masih menyalahkannya atas kehancuran rumahtangganya. Namun Zarina sepatutnya tahu dia beruntung mempunyai Zarita sebagai seorang ibu. Dia akui Zarita lebih baik mendidik anak dari bekas isterinya. Mengenangkan itu Datuk Zainuddin melepaskan keluhan demi keluhan.

            Datin Zarita mendekati suaminya yang kelihatan resah diruang rehat yang bersebelahan dengan kolam renang. Memang dia agak pelik juga dengan sikap suaminya sejak dari malam tadi suaminya asyik termenung dan resah. Bagaikan ada yang tidak kena sahaja. Datin Zarita meletakkan air suam dihadapan suaminya. Lembut jemarinya mengusap jari Datuk Zainuddin yang berada diatas meja rehat.

            “Kenapa nie Bang ?.. dari malam tadi abang resah aja.. abang tak sihat ?”

            Mendengar suara lembut isterinya membuatkan Datuk Zainuddin melemparkan senyuman pendek. Dia menatap wajah lembut isteri yang sudah dinikahi lebih 20 tahun yang lalu. Dia langsung tidak pernah menyangka pertemuan pertamanya dengan isterinya ini akan membibitkan perasaan yang amat luar biasa. Sedangkan waktu itu dia sudah pun mempunyai Aisyah sebagai seorang isteri.

            Entah kenapa tarikan Zarita amat kuat kepadanya. Sedangkan waktu itu Zarita juga sudah mempunyai suami dan seorang anak. Takdir yang menentukan segalanya bila dia yang waktu itu mengidap sakit buah pinggang yang agak kronik telah menerima sepasang buah pinggang yang bersesuaian dengannya. Rupanya buah pinggangnya adalah milik arwah suami Zarita yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Langsung dia tidak pernah menduga sama sekali tujuannya hanya mahu mengucapkan terima kasih menjadikan hubungan mereka kian akrab.

            Perasaan itu bukan dari perasaan simpati semata-mata kerana pertama kali dia mengenali Zarita dia sudah pun merasai debarannya. Sedangkan waktu itu mereka sama-sama sudah mempunyai keluarga.mungkin sudah jodohnya, namun dia tidak menafikan ada rasa kesal kerana Aisyah langsung tidak dapat menerima apa yang telah tersurat. Isterinya meminta dilepaskan jika dia mahu menikahi Zarita. Berat sekali permintaan isterinya waktu itu. Tambahan pula mereka sudah ada sepasang anak kembar yang memang memerlukan perhatian mereka berdua.

            “Abang.. iskkk.. termenung pulak.. kenapa nie ?”

            Risau Datin Zarita melihat keadaan suaminya yang bagaikan termenung panjang. Datuk Zainuddin mengelengkan kepalanya. Senyumannya makin mekar.

            “Za masih cantik, sama macam pertama kali abang tengok Za..langsung tak berubah..”. lembut sahaja suara Datuk Zainuddin membuatkan Datin Zarita tertawa senang. Suaminya ini memang agak romantik orangnya. Sudah 23 tahun usia perkahwinan mereka pun dia merasakan sikap suaminya masih sama. Lembut dan penyayang.

            “Abang nie.. ada apa-apa ker nak bodek Za ?.. Abang ada berkenan dengan anak dara siapa nie ?”. Datin Zarita sengaja mengusik suaminya. Tawa Datuk Zainuddin agak panjang. Wajahnya nampak cerita sekali. Ahhh.. lelaki.. pantang diusik tambah cawangan ceria sahaja hilang terus wajah mendungnya getus Datin Zarita.

            “Za.. Za… umur macam kita nie.. fikirkan nak dapatkan menantu.. bukan madu.. lagipun.. abang tak mampu menyintai wanita lain selain Za..macamana abang nak tambah cawangan ?..”

            Datin Zarita hanya tercebik sahaja. namun dia memang tidak menafikan suaminya ini mampu sahaja kalau mahu menikah 2 atau 3 lagi. Dari segi paras rupa juga suaminya memang kacak tambahan pula dengan kedudukannya yang menjadi seorang pengarah syarikat. Tentu sahaja ramai anak-anak gadis yang akan menempel kepada suaminya. Bukan dia tak tahu gadis zaman sekarang, rupa paras dan usia dah tak penting asalkan poketnya tebal.

            “habis.. dari tadi monyok jer.. bila cerita bab buka cawangan..wahhh..  bukan main ceria lagi abang..”. Manja sahaja nada suara Datin Zarita. Datuk Zainuddin hanya tersenyum. Namun dia melepaskan keluhan agak berat.

            “abang.. fikirkan pasal Zarina…” Lemah sahaja suara Datuk Zainuddin. Datin Zarita mengerutkan wajahnya.

            “kenapa dengan Rin ?..” Datin Zarita bertanya. Memang sejak pagi tadi dia tidak nampak anak gadisnya itu.

            “Abang nampak dia dengan lelaki mat saleh kat hotel Muara semalam.. hati abang tak sedap Za.. kita dah berjanji dengan Rasheed.. lagipun majlis itu bukannya lama lagi.. dua bulan lagi.. kita akan berbesan dengan Rasheed.. anak kita pulak perangai tak pernah berubah.. malah makin teruk.. “

            Datuk Zainuddin meluahkan keresahannya. Memang dia tidak dapat merahsiakan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan keluarganya dengan isterinya. Isterinya amat memahami perasaannya. Datin Zarita terdiam, jika melibatkan anak gadis kesayangan suaminya dia memang agak berhati-hati mahu mengeluarkan kata-kata. Dia tidak mahu mengecilkan hati suaminya atau hati anak tirinya.

            Dia tahu hingga saat ini Zarina tidak pernah menerima dirinya sebagai ibunya. Hati gadis itu begitu keras mahu menerima kenyataan tentang soal jodoh dan takdir. Walaupun dia memang merasa amat bersalah kerana telah merosakkan rumahtangga suaminya, namun dia hanya mampu berdoa agar hati anak perempuannya itu lembut dan dapat menerima dirinya. Tambahan pula hubungan dia dan Aisyah juga agak baik. Bekas isteri suaminya itu sudah pun bernikah lain dan mereka mampu menjadi kawan baik. Namun tidak bagi Zarina. Dia sering dijadikan musuh dan sering dipersalahkan keatas kehancuran rumahtangga ayah dan ibu kandungnya.

            “InsyaAllah bang.. kita doakan sahaja semua semuanya akan berjalan dengan lancar.. lagipun Zarina dan Rayyan dan lama bercinta.. Za percaya Zarina cintakan Rayyan.. mungkin itu hanya kawan-kawannya sahaja, Zarina kan ramai kawan..”

            Datin Zarita cuba menenangkan hati suaminya. Dia tidak mahu menambah resah gelisah suaminya dengan memberikan kata-kata yang akan mengusutkan lagi keadaan. Sebagai seorang ibu, dia juga memang mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tiba-tiba dia terbayangkan Hannah, sudah lama Hannah tidak menjenguknya. Dia dapat merasakan sejak meningkat dewasa, anak gadisnya itu makin jarang mahu pulang kerumah.

            Tambahan pula jika tidak ada majlis yang penting diadakan dirumah ini memang susahlah anak gadisnya itu mahu menjejakkan kakinya dirumah ini. Sejak memasuki alam remaja anak gadisnya memasuki sekolah berasrama. Hanya sesekali sahaja pulang itupun tidak lama. Dia lebih rapat dengan ibunya dikampung. Dia tahu anak gadisnya tidak selesa dengan adik-beradik tirinya yang lain lebih-lebih lagi Zarina. Entahlah.. susah dia mahu menerangkan bagaimana perasaannya. Hannah memang mengingatkan dia kepada Arwah suaminya.

            Wajah anak gadisnya itu memang lebih kepada arwah suaminya yang berketurunan baba dan nyonya. Nasib baik mata anaknya tidak sepet seperti arwah ayahnya. Kalau tidak memang langsung tidak nampak melayunya anak gadisnya itu.

            “abang pun harap macam tu Za..kalau ada apa-apa terjadi pada majlis itu nanti.. hubungan kita dengan Rasheed akan hancur..abang tak mahu perkara itu terjadi.. abang sayangkan keluarga kita.. hubungan baik kami..”

            Lemah sahaja suara Datuk Zainuddin. Datin Zarita mengusap perlahan lengan suaminya. Cuba menenangkan keresahan yang membelenggu hati suaminya. Dia tahu hubungan baik antara suaminya dengan Datuk Rasheed memang sudah termatri sejak dahulu lagi. Mereka membesar bersama dan begitu akrab. Keakraban itu ditambah lagi dengan hubungan kekeluargaan. Tambahan pula mereka sudah berjanji akan menjadi besan pula tidak lama lagi.

            Dihalaman kedengaran kereta berhenti. Datin Zarina dan Datuk Zainuddin menoleh dan melihat Zarina keluar tergesa-gesa dari kereta Honda Jazz hitamnya. Wajah kelat dan melihat keadaan Zarina yang berserabut itu menyebabkan Datin Zarita menahan suaminya dari memanggil gadis itu.

            “biarlah dulu bang.. tengok dia macam letih sangat tu.. kalau abang tegur dia sekarang tentu dia tak boleh terima.. biar dia rehat dahulu..”

            Lembut Datin Zarita menasihati suaminya. Dia memang tidak suka andainya terjadi perbalahan antara suami dan anak gadisnya itu. Dia tahu kesihatan suaminya agak terganggu sejak kebelakangan ini. Dia tidak mahu kemarahan suaminya akan menyebabkan suaminya diserang sakit jantung. Melihat tahap kesihatan dan tahap kemarahan suaminya menyebabkan Datin Zarita tidak mahu menanggu risiko melihat suaminya tumbang dihadapan matanya.. malah dia amat yakin jika Zarina memang tidak akan mendengar kata suaminya. Anak gadis itu sudah semakin liar sekarang.

            Zarina menghempaskan tubuhnya diatas tilam empuk didalam biliknya. Fikirannya kusut sekali. Sakit hatinya mengenangkan pertemuaannya dengan doctor peribadinya sebentar tadi. Zarina meramas rambut perangnya. Kusut.. dia meraba perutnya.. tidak lama lagi perutnya akan membesar. Dia tidak akan membiarkan itu terjadi. Dia teringatkan Rayyan, tunanganya itu terlalu sibuk sejak kebelakangan ini. Sejak mengendalikan syarikat sendiri Rayyan sudah tidak mempunyai masa dengannya.

            Itu tidaklah menjadi masalah dengannya. Tanpa Rayyan dia masih mempunyai ramai lagi teman lelaki yang boleh menghiburkan hatinya. Namun sengaja dia menjerat Rayyan dengan ikatan pertunangan. Dia tidak akan sesekali membiarkan musuhnya mengambil kesempatan keatas keluarganya. Mengenangkan itu hati Zarina makin sakit. Masalahnya kian kusut sekarang. Ahhh.. kenapalah dia cuai sangat. Mana tak cuai kalau dia pun tak sedar. Siapa bapa anaknya kali ini pun dia tak tahu. Cuba mengingati siapa lelaki yang bersamanya dua bulan yang lepas. Uurrhhhfff.. langsung tak ada idea.


            Zarina bingkas bangun dan menyelongkar almari pakaiannya. Dia perlukan rehat dan ketenangan. Dia perlukan pil yang mampu menenangkan jiwanya kali ini. Dia tidak mampu berfikir secara waras sekarang. Takut dia akan melakukan sesuatu yang lebih buruk lagi. Lebih baik dia menelan pil tidur. Dia mahu merehatkan mindanya yang memang sedang berselirat dengan masalah sekarang.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment