Wednesday, 2 October 2013

Masihkah Ada Aku...

Bab 7

            Hannah meraup wajahnya. Memandang ruang menunggu dipusat rawatan IJN dengan perasaan yang tidak menentu. Pagi tadi subuh-subuh ibunya menelefon memberitahu keadaan papa yang agak tenat di dalam ward CCU. Hannah melepaskan nafasnya agak sesak. Bukan kesihatan papanya yang membuatkan dia rungsing. Tapi permintaan ibunya setengah jam yang lepas membuatkan dia rasa dia mahu rebah sahaja dikatil sebelah papanya. Apa dosanya ?.. apa salahnya ?.. ya Allah..

            “Hannah… kali ini ibu merayu dengan Hannah.. ibu tahu ibu kejam dengan Hannah.. tapi ini sahaja caranya untuk menyelamatkan maruah keluarga kita, ibu mahu Hannah gantikan tempat kak Zarina.. ibu merayu sayang.. ibu merayu sangat-sangat..”

            Luluh rasa hati Hannah mendengar rayuan ibunya. Hannah hanya mampu merenung wajah basah ibunya tanpa dapat mengeluarkan kata-kata. Tambahan pula bila melihat keadaan papanya yang memang agak lemah. Ya..Allah.. dugaan apakah yang telah Kau berikan ini ? Hannah merintih didalam hati.

            “kita kena rahsiakan tentang Kak Rina.. jangan sampai sesiapapun tahu tentang perkara ini.. ini rahsia keluarga kita.. ini maruah keluarga kita.. kasihan papa..”

            Hannah melepaskan keluhan lagi. Dia memang tidak mampu membuat keputusan. Bagaimana mahu dia mengantikan kakaknya untuk menjadi isteri kepada lelaki yang amat membencinya dan juga yang telah menghinanya ? bagaimana mahu diletakkan maruahnya hanya untuk menyelamatkan maruah keluarganya ? Hannah benar-benar buntu. Majlis akan berlangsung bulan depan. Apa yang harus dia lakukan dalam masa yang sangat singkat ini ?

            “Hannah…”

            Hannah mengangkat wajahnya. Senyuman manis Arif membuatkan mahu sahaja Hannah melontarkan tubuhnya kedalam dakapan tubuh sasa Arif. Namun tak mungkin, walau bagaimana sekalipun mereka rapat, mereka tetap bukan adik-beradik kandung. Mereka tetap bukan mahram.

            “Abang Arif…”

            Hanya itu yang mampu Hannah ucapkan. Matanya sudah agak bengkak, hidung sudah merah. Arif terus duduk disebelah Hannah. Dia melepaskan keluhan, rasa simpatinya melangit untuk gadis comel ini. Namun permintaan ibunya tadi benar-benar membuatkan dia juga serba salah. Tak sanggup rasanya dia mahu mengorbankan masa depan Hannah hanya untuk menyelamatkan maruah keluarga yang telah dicalarkan oleh Zarina. Namun dia juga tidak nampak jalan lain yang mampu dilakukan untuk menutup segala kekotoran yang telah dilakukan oleh Zarina. Dia resah.. dia buntu.. dia juga amat kasihan dengan Hannah.

            “Kak Rina macam mana ?”. Hannah bertanya lemah.

            Hannah tahu walaupun hubungan mereka tidak pernah baik. Namun Zarina tetap ahli keluarganya. Zarina tetap kakaknya walaupun kakak tirinya langsung tidak pernah menerima dirinya sebagai adik. Namun sebagai adik, dia masih menyayangi Zarina. Walau apapun yang terjadi, nasib Zarina juga harus dibela.

            “Abang dah uruskan dengan Uncle Roslan.. malam ini dia akan dihantar ke London.. InsyaAllah.. semuanya akan selamat..”

            Arif menjawab tenang. Nasib baiklah dia ada uncle Roslan yang menjadi doctor peribadi keluarganya. Kalau tidak bagaimana dia mahu menutup aib yang telah dilakukan oleh Zarina. Memang dia langsung tidak menyangka Zarina sudah hanyut jauh dari sifat kemanusiaan. Dia juga langsung tidak menyangka Zarina sanggup mengadaikan maruah diri dan keluarganya. Dia amat kesal sekali..

            “Hannah.. abang tahu permintaan ibu amat kejam.. abang rasa.. tak perlulah Hannah mahu berkorban sejauh itu.. kita akan bincang baik-baik dengan Uncle Rasheed..InsyaAllah.. semuanya akan selamat..”

            Rasanya itu jalan yang terbaik untuk mereka waktu ini. Berbincang dengan Datuk Rasheed lebih baik dari memaksa Hannah berkahwin dengan Rayyan untuk menutup maruah keluarga. Dia tahu Hannah tidak pernah sukakan Rayyan, begitu juga sebaliknya. Dia sebagai abang tahu bagaimana wanita yang menjadi idaman Rayyan. Lelaki itu amat tinggi citarasanya.

            Sejak dahulu Rayyan tidak pernah melayani mana-mana perempuan yang dirasakan kekampungan ataupun tidak bergaya. Sebab itu sepupunya itu memang sukakan adik kembarnya. Rayyan dan Zarina adalah satu pasangan yang sama sahaja fiilnya. Suka sangat memandang rendah kepada orang lain.

            “Hannah tak tahu nak buat apa dah Abang Arif, ibu tak bagi kita bocorkan rahsia ini , kasihan papa.. papa tak mungkin mampu menerima kalau uncle Rasheed menjadikan papa musuh.. tak mungkin papa akan mampu menerima tekanan seperti itu abang..”

            Hannah mengesat airmatanya yang mengalir. Sudah tidak mampu rasanya dia mahu menangis. Dia tidak tahu tangisan untuk apa. Untuk papa atau untuk dirinya sendiri. Dia memang benar-benar buntu.

            “habis kita nak buat macam mana ?..Hannah sanggup berkahwin dengan Rayyan ?”

            Arif merenung wajah comel yang sudah kemerahan kerana menangis itu. Hannah terdiam.. sanggupkah dia ? bagaimana dengan rayuan ibunya ? sanggupkah dia mengecewakan ibunya ? apalah sangat kalau mahu dikorbankan hanya untuk kebahagiaan ibunya ? ibunya sudah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Kenapa dia sebagai anak masih berfikir-fikir lagi untuk menerima ? ahh.. Hannah benar-benar terlalu pentingkan diri..

            “Hannah terima sahaja Abang, lagipun.. kita tak ada jalan lain lagi.. maruah keluarga kita. Hubungan papa dan Uncle.. dan banyak yang akan dapat diselamatkan dengan perkahwinan ini abang.. tapi.. macam mana kita nak buat Rayyan bersetuju dengan perkahwinan ini ? bagaimana uncle Rasheed boleh menerima perkahwinan yang akan dijalankan ini ? itu yang patut kita fikirkan abang..tambahan majlis bukannya lama lagi”

            Hannah sudah nekad. Tidak salah dia berkorban sedikit. Pengorbanan papanya terhadap dirinya lagi tidak terhitung banyaknya. Masakan dia tidak mampu berkorban untuk menyelamatkan maruah keluarga yang telah banyak menyelamatkan maruah dia dan ibunya sejak dahulu lagi. Arif melepaskan keluhan. Dia tahu hati dan perasaan Hannah, dia amat tahu Hannah sama sahaja dengan ibunya yang amat lembut dan baik hati. Sanggup berbuat apa sahaja untuk kesenangan orang lain.

            “kita kena fikirkan bagaimana caranya perkahwinan ini tetap berlangsung dan rahsia keluarga tidak akan terbongkar..”

            Hannah bersuara lagi. Dia memerlukan Arif untuk membantunya menjalankan permintaan ibunya. Dia tidak mampu berfikir dengan tenang sekarang. Bagaimana dia mahu memaksa Rayyan supaya berkahwin dengannya tanpa melibatkan Zarina ? bomohkan dia ? hisshhh… syirik tu..

            “betul ker Hannah sanggup berkahwin dengan Rayyan ? tak nak fikirkan jalan lain ? mungkin ada cara lain yang boleh kita lakukan ?”


            Arif serba salah.. masakan Hannah menerima segalanya dengan mudah ? begitu mudahkah Hannah membuat keputusan tentang masa depannya ? melihat kesungguhan Hannah membuatkan dia rasa terharu. Dia amat bersyukur dikurniakan adik sebaik Hannah dan ibu semulia Datin Zarita. Dia benar-benar rasa bangga dengan papanya kerana menyintai wanita semulia Datin Zarita yang sanggup mengorbankan anak sendiri hanya untuk menutup aib yang dilakukan oleh anak tirinya. Dia percaya mama kandungnya juga tidak akan mampu melakukan apa yang telah dilakukan oleh ibunya. 

No comments:

Post a Comment